18/09/2024
AMBIL TAKAFUL SEBAB KITA LEMAH IMAN?
Ada orang share satu video tahun 2013 oleh (Allahyarham) Ustaz Rasul Dahri. Dalam video terebut, beliau mendakwa seperti berikut:
1. Insurans/takaful haram melainkan terpaksa diambil seperti nak perbaharui lesen kereta, keperluan di tempat bekerja.
2. Insurans/takaful haram sebab takut kepada insurans/takaful, bukan takut kepada Allah SWT. Kalau ada insurans/takaful baru berani.
3. Insurans/takaful haram sebab jadikan kita tidak tawakal kepada Allah SWT.
4. Insurans/takaful haram sebab kadang-kadang beri manfaat kepada orang Yahudi.
5. Insurans/takaful haram sebab boleh merosakkan iman kita
Kami berpendapat hujah-hujah di atas adalah hujah-hujah yang tidak relevan dan tidak tepat mengenai insurans/takaful kerana:
1. Produk tidak jadi halal atau haram sebab kita silap niat, kita silap tawakal. Yang haram ialah kita silap niat dan silap tawakal. Contoh, ubat adalah halal tetapi jika kita ada keyakinan ubat adalah penyembuh, bukan Allah SWT, kita mungkin terlibat dengan syirik. Tetapi ubat tetap halal.
2. Malah Nabi SAW suruh kita ikhtiar dan usaha dahulu sebelum tawakal.
3. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sahihnya:
Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah. [Sahih Ibn Hibban, no: 731]. Shaikh Syu'aib al-Arnaouth menyatakan bahawa hadis ini hasan.
4. Halal atau haram sesuatu bukan berdasarkan samada beri manfaat kepada orang Yahudi. Kita boleh bermuamalat dengan sesiapa sahaja asalkan ia halal. Malah Nabi saW pernah bermuamalat dengan Yahudi. 'Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi yang akan dibayar kemudian pada tempoh tertentu dan Baginda menggadaikan kepadanya sebuah baju besi." (Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī. Ṣahīh Muslim, (Maṭba’ah ‘Isa al-Bābī al-Halabī, Beirut, Lubnan: 1955). Jil. 3, ms. 1336.)
5. Antara sebab yang merosakkan iman kita ialah kita tidak belajar ilmu tetapi kita mengeluarkan hukum-hakam tanpa dalil atau hujah yang tepat.
6. Takaful adalah suatu ikhtiar melalui pengurusan risiko yang halal. Takaful adalah berdasarkan perkongsian murni berkonsepkan iltizam bi tabarru’ iaitu konsep bantu-membantu antara satu sama lain dan melindungi serta membantu sesiapa yang mengalami kecelakaan.
7. Takaful merupakan suatu rancangan untuk kelestarian hidup. Bayangkan susahnya hidup jika kita mengalami kerugian yang besar yang tidak dapat ditampung oleh simpanan kita. Kita perlu merancang kerana ia merupakan sunnah atau jalan para Rasul. Dalam hal ini, kisah Nabi Yusuf AS seperti yang digambarkan dalam al-Quran dapat memberikan pengajaran yang jelas betapa pentingnya perancangan untuk masa depan.
8. Insurans konvensional sudah di fatwakan haram sebab ada riba, gharar dan judi. Takaful sudah difatwakan halal. Maka langganlah takaful.
Rujukan video https://www.youtube.com/watch?v=_RBvVmd9jOk
Suburkan ilmu, jauhi kedangkalan.
Insha Allah…😬