25/11/2020
.
Soal Jawab Ringkas Pusaka #11
Soalan :
Apa beza penamaan dan hibah? Mengapa ASB tak buat cara penamaan seperti TH?
Jawapan :
Penama bukan penerima mutlak. Penama hanya sebagai pentadbir yang bertanggungjawab membahagikan duit yang diterima secara faraid. Berbeza dengan penerima hibah, duit yang diterima ialah milik mutlak penerima hibah dan tak perlu lagi dibahagikan secara faraid. Kedudukan penama di TH dan hukum penama adalah sebagaimana di bawah :
1) Seseorang pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas hendaklah menamakan mana-mana individu daripada kalangan warisnya menurut Hukum Syarak sebagai penerima sejumlah amaun atau sebahagian amaun yang ada pada kredit pendeposit selepas kematian pendeposit (merujuk kepada Akta Lembaga Tabung Haji 1995, Peraturan-Peraturan Lembaga Tabung Haji (Deposit Dan Pengeluaran) 2002, Pindaan 2003, Pindaan 2013 dan Pindaan 2017).
Penamaan merupakan pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh pendeposit untuk melantik atau menamakan mana-mana individu daripada kalangan warisnya menurut Hukum Syarak sebagai “Penama”. Penama yang dilantik bertindak sebagai wasi atau pentadbir ke atas wang simpanan di TH apabila pendeposit meninggal dunia.
(sumber : tabunghaji.gov.my)
2) Mengapa ASNB tidak mengadakan sistem penamaan yang lebih mudah seperti KWSP dan Tabung Haji?
Berdasarkan undang-undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian seperti saham-saham syarikat. Pewarisan unit amanah adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran di mana pentadbir atau waris yang dilantik oleh mahkamah sahaja yang boleh menuntut harta si mati.
Berbeza dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Tabung Haji, kedua-dua organisasi tersebut ditubuhkan di bawah akta masing-masing yang mempunyai peruntukan khusus membenarkan 'penamaan' dilakukan. (sumber : asnb.com.my)
3) Fatwa Tentang Hukum Penamaan :
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-15 yang bersidang pada 6 Mac 1978 telah membincangkan Nominee (Penama).
Persidangan telah memutuskan bahawa:
Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak.
Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definisi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah. Oleh itu undang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah.
Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu.
Biar tahu jangan keliru.